MS024 | PENGURUSAN KREDIT

Maklumat Kami

Agensi Kaunseling Dan Pengurusan Kredit, atau biasanya dikenali sebagai AKPK, ialah sebuah agensi yang ditubuhkan oleh Bank Negara Malaysia pada bulan April 2006 untuk membantu individu menguasai situasi kewangan mereka dan mencapai ketenangan minda hasil daripada penggunaan kredit secara bijak.

Pendidikan kewangan tentang tanggungjawab penggunaan wang dan skil pengurusan kredit.

Kaunseling dan nasihat berkenaan pengurusan kewangan.

Program pengurusan kredit untuk membantu pengguna menguasai semula kewangan mereka.

 

KISAH AKPK

Pada tahun 2006 semasa ekonomi pada tahap mantap dengan kredit pengguna di bawah kawalan, Bank Negara Malaysia telah mengambil langkah awal dengan menubuhkan Agensi Kaunseling Dan Pengurusan Kredit, sebuah agensi yang kini memanfaatkan rakyat Malaysia.

PENUBUHAN

Agensi Kaunseling Dan Pengurusan Kredit ditubuhkan sebagai sebahagian daripada Pelan Induk Sektor Kewangan Bank Negara Malaysia (2000 – 2010).

AKPK sebuah pelan 10 tahun yang bertujuan memajukan dan merangsang sektor kewangan negara.

FOKUS

Menurut hasil kajian kumpulan fokus yang kami adakan, kekurangan pengetahuan dalam pengurusan kewangan peribadi merupakan sebab utama kebanyakan individu, tidak kira tua atau muda, terjebak dalam masalah hutang yang tidak mampu mereka atasi.
 

Pengurusan kewangan yang tidak cekap hasil daripada kurangnya pemahaman tentang prinsip asas kewangan adalah sebab utama individu terjerat dalam masalah ini.

Cabaran terbesar kami kini ialah penstrukturan suatu pendekatan yang boleh mencapai satu masyarakat yang terdiri daripada berbilang bangsa dan tahap pengetahuan serta latarbelakang sosioekonomi yang berlainan.

AKPK menyediakan jalan di mana rakyat boleh mendapatkan nasihat dan kaunseling tentang hal-hal peribadi kewangan.

Di samping itu, kami juga menyediakan peluang kepada mereka yang dibelenggu hutang untuk memulih semula keadaan kewangan mereka melalui perkhidmatan pengurusan kredit berstruktur AKPK.

 

PENDEKATAN KAMI

AKPK kini telah berjaya merangka suatu pendekatan untuk mendidik masyarakat melalui 3 perkhidmatan kami
Perkhidmatan kami adalah percuma dan disasarkan memenuhi permintaan rakyat Malaysia untuk kaunseling dan nasihat kewangan.