
BARIO – Nama Bario mungkin asing bagi penduduk Semenanjung Malaysia, tetapi bagi masyarakat di Sarawak, Bario salah sebuah daerah cukup terkenal.
Siapa sangka di sebalik hutan tebal dan gunung-gunung yang mencapai 2,400 meter dari paras laut, wujudnya perkampungan tanah tinggi yang cukup istimewa.
Bario adalah sebuah daerah pedalaman yang terletak kira-kira 1,150 meter dari paras laut di kawasan timur laut Sarawak.
Perjalanan menuju ke Bario mengambil masa kira-kira 50 minit dari Miri jika menggunakan laluan udara manakala bagi perjalanan darat pula selama 10 hingga 12 jam dari Miri.
Daerah itu merupakan kawasan penempatan bagi masyarakat Kelabit yang terkenal dengan bekerja keras bagi menampung keperluan harian khususnya dalam bidang pertanian.
Daerah Bario juga terkenal dengan beberapa produk pertanian mereka seperti beras wangi (beras Bario), nanas dan garam bukit kerana mempunyai nilai khasiat cukup tinggi.
Sumber: http://www.sinarharian.com.my