DASAR KEPENDUDUKAN MALAYSIA KE ARAH 70 JUTA PENDUDUK
Latarbelakang
Matlamat kependudukan 70 juta telah disarankan oleh Y.A.B. Perdana Menteri Seri Dr. Mahathir Mohammad ketika beliau berucap di Perhimpunan Agung UMNO dalam bulan September 1982. Beliau berpendapat bahawa Malaysia akan lebih berjaya dengan penduduk sebanyak 70 juta.
Saranan ini kemudiannya telah dijelaskan dan dikemukakan sekali lagi oleh beliau dalam ucapannya semasa membentangkan kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Keempat pada 29hb. Mac 1984. Matlamat kependudukan ini diharapkan dicapai dalam tempoh 115 hingga 120 tahun.
Rasional
Jumlah penduduk Malaysia adalah masih kecil dan ada faedah-faedah besar jika kependudukan Malaysia dibesarkan dalam jangka perancangan di atas. Jika dibandingkan dengan negara-negara lain, Malaysia dengan kawasan yang seluas 334,000 km persegi mempunyai penduduk sebanyak 15 juta, Negeri Thai dengan kawasan seluas 514,000 km persegi mempunyai penduduk sebanyak 50 juta dan Republik Indonesia dengan kawasan tanah 2,027,087 km persegi mempunyai sebanyak 150 juta.
Rasional untuk mencapai matlamat kependudukan 70 juta adalah untuk menyediakan satu asas permintaan dan pasaran bagi keluaran industri industri tempatan. Ini akan mengujudkan keadaan persaingan dalam pasaran dan selanjutnya akan meninggikan daya dan mutu pengeluaran untuk eksport. Pertumbuhan adalah dianggap sebagai modal yang utama untuk kemajuan ekonomi dan sosial sesebuah negara, disamping itu ianya juga dapat meningkatkan daya pengeluaran ekonomi. Dengan yang demikian, adalah wajar angkubah-angkubah demografik ini diambil kira di dalam perancangan pembangunan untuk mempastikan kemajuan ekonomi dan pertumbuhan kebajikan yang berterusan.
Malaysia masakini mengalami kadar pertumbuhan kependudukan sebanyak 2.5%* bagi jangkamasa 1981-1985. Mengikut kadar ini, jumlah penduduk dianggarkan menjadi 15.279 juta dalam tahun 1984, iaitu pertambahan sebanyak 11.2% daripada jumlah 13.745 juta pada tahun 1980. Kadar pertumbuhan bagi jangkamasa-jangkamasa tertentu adalah seperti yang berikut:-
Jangkamasa Kadar Pertumbuhan
1957 – 1960 2.8%
1960 – 1870 2.6%
1970 – 1980 2.3%
1980 – 1985 2.5%
Perbandingan antara jangkamasa di atas menunjukkan bahawa kadar pertumbuhan sekarang ini adalah lebih tinggi sedikit dari kadar pertumbuhan bagi 1970-1980. Ini adalah disebabkan oleh kadar kesuburan yang lebih tinggi dalam tahun lima puluhan dan enam puluhan dan bertambahnya jumlah wanita-wanita muda yang mencapai umur perkahwinan. Walaubagaimana pun berdasarkan kepada arah aliran pertumbuhan penduduk sekarang, adalah dijangkakan bahawa kependudukan Malaysia akan mencapai jumlah kesetabilan dalam linkungan 39 juta orang dalam tahun 2150.
Menurut Laporan Pembangunan Dunia (World Development Report) yang diterbitkan oleh Bank Dunia dalam bulan Julai 1983, penduduk Malaysia akan dijangka menjadi 33 juta dalam tahun 2120. Unjuran-unjuran ini dibuat berdasarkan kepada kadar pertumbuhan kependudukan sebanyak 2.0% setahun (1980-2000) atas andaian kadar kesuburan yang berkurangan secara sederhana. Laporan ini selanjutnya menunjukkan penduduk Malaysia akan bertambah menjadi 17 juta dalam tahun 1990 dan mencapai jumlah 21 juta dalam tahun 2000. Unjuran-unjuran Bank Dunia ini tidaklah selari dengan matlamat penduduk 70 juta sekarang yang dijangka dicapai dalam tahun 2100. Ini bermakna bahawa dua komponen utama mengenai kependudukan iaitu kadar kesuburan dan kadar kasar kelahiran perlu dipertingkatkan dengan sewajarnya.
Perlu dijelaskan bahawa kajian kependudukan memerlukan pengetahuan mengenai arahaliran perkembangan masa lepas dan masa kini. Ketetapan unjuran besar bergantong kepada kefahaman yang mendalam terhadap fakta-fakta dinamik kependudukan pada pada keseluruhannya, terutama mengenai pola-pola kesuburan, kematian dan kekeluargaan.
______________________________________________________________
* Laporan Ekonomi 1984/85 Kementerian Kewangan Malaysia